Wakaf adalah berasal dari perkataan wakafa yang bermaksud berhenti atau tertahan. Wakaf diertikan sebagai satu amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Wakaf merupakan satu cabang ibadah kerana tujuan asas amalan wakaf adalah untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. dengan cara membelanjakan harta ke jalan Allah.
Contoh amalan wakaf adalah seperti seseorang mewakafkan tanah seluas seekar yang dimilikinya untuk dibina masjid di atasnya bagi kegunaan orang ramai beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan. Wakaf boleh dilaksanakan dengan harta yang berbentuk kekal seperti tanah, bangunan, rumah dan juga wang tunai.
Mekanisme wakaf merupakan satu ibadah yang mempunyai asas agama yang mendalam. Para fuqaha' berpandangan bahawa amalan wakaf mempunyai dua objektif asas iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pewakaf akan menerima ganjaran pahala yang berkekalan dan berterusan hingga ke hari akhirat.
Perintis amalan wakaf dalam Islam adalah dipraktikkan oleh Baginda Rasullullah S.A.W apabila Baginda membina masjid Quba' yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Amalan wakaf telah hidup subur dan diteruskan oleh para sahabat dan tabiin yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu. Ringkasnya semangat dan keyakinan masyarakat Arab ketika itu terhadap mekanisme wakaf dalam membantu membangunkan syiar Islam amat menggalakkan dan sesetengah kenyataan menyatakan bahawa telah menjadi tradisi masyarakat Arab akan mewakafkan 1/3 hartanya sebelum meninggal dunia.
Fakta sejarah telah menyatakan bahawa 3/4 daripada keluasan tanah Arab merupakan tanah wakaf. Model institusi wakaf yang paling berjaya adalah wakaf Al-Azhar di Negara Mesir di mana ianya dikendalikan oleh sebuah kementerian khas yang dinamakan Kementerian Wakaf. Wakaf Al-Azhar dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga ia mampu membiayai pelbagai program untuk pembangunan masyarakat Islam di Mesir seperti sekolah, hospital, universiti dan sebagainya. universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia.
Bagi masyarakat Islam di Malaysia amalan wakaf telah lama dipraktikkan dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat Melayu khususnya sebelum kedatangan penjajahan barat. Sebelum tahun 1950-an kebanyakan harta wakaf adalah untuk tujuan pembangunan institusi keagamaan seperti pembinaan surau, masjid, madrasah, kubur dan sekolah agama. Hal-ehwal pengurusannya pula ketika itu ditadbir oleh cerdik pandai Islam dan pemimpin masyarakat seperti imam, ketua kampung, lebai, kiyai dan ulama'. Di Negeri-negeri Utara dan Pantai Timur banyak madrasah dan ma'had tahfiz yang dibina melalui sumber wakaf dan kebanyakan masjid dan surau di kampung-kampung pada masa dahulu adalah dibina di atas tanah yang diwakaf oleh individu.
Bagi melengkapkan kitaran projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi asnaf, ia perlu dikembangkan lagi dengan mewujudkan kilang padi yang turut memberi sumbangan kepada negara dalam isu keterjaminan makanan.
Dengan wujudnya kilang padi ini, penghasilan padi yang diusahakan oleh peserta Asnaf dalam Program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf dapat diproses semula untuk di agihkan kembali kepada golongan asnaf di Pusat Agihan Bekalan Makanan Fakir Miskin di masjid.
Pada 28 Mei 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Project Hassan, yang bertujuan untuk meningkatkan status sosioekonomi komuniti asnaf di Kedah. Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), MIFC Leadership Council, the Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AlBIM), dan Universiti INCEIF University.
Dengan anggaran kutipan RM13.6 juta melibatkan wakaf dan lain-lain sumbangan, projek ini melibatkan kerjasama yang erat dengan penglibatan semua institusi yang bersinergi dalam memperkukuhkan agenda zakat dan wakaf di Malaysia, sekaligus memberikan limpahan kebaikan kepada petani asnaf sekaligus membantu menjamin sumber keterjaminan makanan negara.